Monday, September 13, 2010

Penerusan Ramadhan

Kepada semua pelajar tingkatan lima 2010 Sekolah Menengah Islam Hira' Jeram...




"Taqabbalallahuminna waminkum...Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin. Kullu 'am waantum bikhair" 

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah s.w.t kerana memberi keizinan kepada untuk menghabiskan bulan Ramadhan dengan sempurna dan bertemu dengan hari kemenangan umat Islam, Aidil Fitri. Semoga segala amalan kita pada bulan ramadhan dapat memberi kesan yang mendalam pada diri kita. Rasulullah s.a.w pernah bersabda : "rugilah bagi siapa yang merugikan(Ramadhan) dan untunglah bagi siapa yang berjaya (memanfaatkan bulan Ramadhan)"

Ramadhan.
Terdetik aku untuk mengimbas kembali suasana bulan Ramadhan terakhir di sekolah. Apa yang aku dapat perhatikan ialah satu fenomena ganjil yang membuatku berfikir berkali-kali. Iaitu suasana  pelajar bersemangat dan berlumba untuk melakukan ibadah. Ada yang tidak tidur pada malam hari semata-mata untuk beribadah, korbankan masa riadhahnya untuk menghabiskan tilawah, menggunakan masa yang kosong di dalam kelas untuk membaca Al-Quran, pelajar yang sebelum ini malas untuk melakukan ibadah-ibadah sunnat menjadi rajin malah mengajak rakannya sekali, dan tangan berasa ringan untuk bersedeqah Ada juga yang menjadikan Ramadhan sebagai medan untuk berubah. Amalan baik sangat mudah dilakukan dan perbuatan maksiat seolah-olah sangat sukar untuk dilakukan.

Aku terus berfikir tentang fenomena ini,

Aku rasa inilah natijahnya syaitan digari, pintu syurga dibuka seluasnya dan pintu neraka ditutup serapatnya, amalan sunnat digandakan, hidayah Allah mencurah-curah turun kebumi dan Allah mengurniakan rahmatNya lebih pada bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan lain dengan menjadikan malam lailatul qadr. Dengan kelebihan-kelebihan ini baru aku faham mengapakah perbuatan baik sangat mudah dilakukan dan perbuatan maksiat seolah-olah tidak mendapat tempat pada bulan Ramadhan. Jiwa manusia juga mudah dibentuk kerana tiada gangguan  syaitan..

Berlalunya Ramadhan....

Jika di bulan Ramadhan kita dapat mengorbankan masa tidur kita untuk ibadah, rajin tilawah Al-Quran, ringan tangan untuk memberi sedeqah, adakah selapas berlalunya Ramadhan kita dapat beristiqamah dalam melakukan ibadah-ibadah sepertimana kita lakukan pada bulan Ramadhan? Atau adakah dengan berlalunya Ramadhan berlalu juga semangat dan cinta kita untuk melakukan amalan-amalan sunnat? biasanya yang berlaku ialah selepas beberapa hari atau beberapa minggu, atau beberapa bulan Ramadhan pergi, 'stamina cinta' kita untuk terus melakukan ibadah dan amalan sunnat akan pancit. Tiada lagi semangat untuk tilawah Al-Quran, susah untuk melakukan qiamullail, tangan berasa berat untuk memberi sedeqah dan lain-lain. Fenomena ini  biasa terjadi kerana fitrah manusia yang dikurniakan nafsu adalah sebegini. Jadi, untuk kita terus mangekalkan 'stamina cinta' kita dalam melakukan perkara yang baik ialah dengan melawan nafsu.

Beberapa nasihat daripada qudama'....

Yahya bin Muadz berpesan : "berjihadlah melawan nafsu dengan riadhah (latihan rohani)". Apakah itu latihan rohani?

1. Sedikit makan.
Dengan kurang makan akan matilah keserakahan syahwat. Sabda Rasulullah s.a.w. : "jangan kamu matikan hati dengan banyak makan dan minum. sebab hati itu seperti tanaman. Ia boleh mati kalau diberi air yang berlebihan"

2. Sedikit tidur
Dengan kurangnya tidur keinginan menjadi bersih

3. Bercakap sekadar perlu
Dengan kurang cakap badan akan selamat. Seperti pepatah melayu : "kerana mulut badan binasa"

4. Sabar menanggung gangguan orang lain

Kesimpulannya , kita mestilah menang dalam pertarungan melawan hawa nafsu kita. Jangan biarkan nafsu menguasai diri kita kerana nafsu sentiasa mengajak kepada perkara yang mungkar. Sungguh, banya uslub dan kaedah yang boleh digunakan untuk meningkat dan melawan hawa nafsu.

"kun rabbaniyyan wala takun ramadhaniyyan" jadilah kamu hamba kepada Allah dan jangan jadi hamba kepada Ramadhan.wallahu 'alam.